NIBONG TEBAL: Seorang wanita berusia 40 tahun dirogol dan diliwat sehingga maut oleh lelaki yang memecah masuk ke rumahnya di Taman Seruling Emas, di sini semalam sebelum mayat mangsa disorok di bawah katil.
Berikutan kejadian itu, polis menahan seorang suspek berusia 29 tahun yang mempunyai lima rekod jenayah ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi tidak jauh dari lokasi kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, berkata polis menerima laporan pada jam 7.20 malam tadi berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam bilik rumah teres dua tingkat.
"Melalui siasatan, kejadian disedari seorang wanita berusia 41 tahun yang datang ke rumah mangsa kerana mempunyai janji temu dengan mangsa kira-kira jam 3 petang, namun ternampak seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal keluar dari rumah mangsa.
"Berikutan tidak sedap hati, dia menghubungi kakak mangsa sebelum kakak mangsa menghubungi kenalannya untuk membuat pemeriksaan ke atas kediaman adiknya.
"Kenalan kakaknya pergi ke rumah mangsa dan mendapati pintu rumah sedikit terbuka lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, ketika pemeriksaan, keadaan rumah mangsa berselerak dan polis menjumpai mangsa di bilik tingkat bawah dalam keadaan terbaring di bawah katil.
"Saksi iaitu jiran sebelah rumah mangsa mengatakan ternampak pergerakan seorang lelaki keluar dengan menaiki motosikal jenis SYM.
"Berpandukan maklumat itu, polis mengesan keberadaan suspek dan membuat tangkapan ke atas lelaki yang mempunyai lima rekod jenayah berusia 29 tahun yang bersembunyi di Changkat Sungai Jawi tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya.
Chong Chern berkata, soal siasat ke atas suspek mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira jam 6 petang dan selepas itu meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar.
"Bagaimanapun, suspek dikatakan memberhentikan motosikal di kawasan perumahan dan dia masuk ke rumah mangsa kira-kira jam 3 pagi melalui tingkap.
"Suspek kemudian pergi ke bilik tidur dan nampak mangsa tidur di atas katil lalu merogol serta meliwat mangsa. Mangsa dikatakan melawan dan menjerit.
"Apabila mendapati mangsa tidak lagi bergerak dan dipercayai meninggal dunia, suspek kemudian menarik mangsa ke bawah katil dan menyembunyikan mayat mangsa," katanya.
Dalam pada itu, Chong Chern berkata, suspek menggeledah rumah mangsa dan mengambil telefon bimbit, wang tunai dan loket mangsa sebelum keluar dari rumah itu kira-kira jam 2 petang dan menghantar motosikal dipinjamkan dari rakannya, kemudian pulang ke kediamannya tidak jauh dari kediaman mangsa dengan berjalan kaki.
"Suspek yang mengetahui polis membuat pemeriksaan ke atas rumah mangsa kemudian menyembunyikan diri dan membuang barangan milik mangsa ke dalam sungai.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mayat mangsa akan dibedah siasat selepas keputusan saringan COVID-19 diperoleh," katanya.
No comments: