Selepas hampir dua tahun berlalu, keputusan kes saman Ali Puteh terhadap kakak iparnya, Nor Hidayah akan diketahui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Menurut Ali Puteh, dia menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan hakim untuk membuat keputusan serta berserah kepada Allah. Ali berkata tindakan yang diambil olehnya itu adalah untuk Allahyarham abangnya Abam Bocey dan arwah ibu mereka, Sabariah Arshad.
“Selepas apa yang terjadi semasa prosiding mahkamah, saya berharap ada sinar pada saya sekeluarga yang dianiaya. Allah uji saya sekeluarga apabila benda yang kita tak buat, orang kata kita buat. Mula-mula agak panas dan geram apabila benda ini tular.
“Kecaman yang diterima itu amat luar biasa. Namun selepas itu, satu demi satu jalan yang kami nampak apabila Allah tunjukkan jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Ali berkata ramai netizen yang pernah mengecamnya tampil meminta maaf kepadanya. Malah, Ali berkata dia tidak terasa hati dengan komen netizen kerana baginya mereka tidak tahu hal sebenar.
“Saya kini dah tak takut dengan kecaman netizen sebab sudah berkali-kali jumpa mereka yang maki hamun di balai polis. Ada juga yang jumpa di luar dan ada yang datang rumah. Ada juga yang hanya kirim video mohon maaf.
“Semuanya mohon maaf sebab tak tahu-menahu apa yang terjadi. Sikit pun saya tak simpan dalam hati sebab saya tahu mereka ini tak tahu menahu dan hanya komen sesuka hati,” katanya.
Terdahulu, kontroversi antara Hidayah dan Ali tercetus apabila kakak iparnya memfailkan saman terhadapnya sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.
Saman yang dibuat Hidayah itu menuduh Ali mengambil harta arwah abangnya Abam Bocey dan harta anak yatim. Antara tuduhan lain yang difailkan adalah tuntutan faraid, tuntutan hak penjagaan anak, tuntutan kereta dan sebagainya.
No comments: