Pemergian penyanyi tersohor tanah air, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, 9 Ogos lalu cukup meninggalkan kesan kepada rakyat Malaysia.
Selepas pemergian Allahyarhamah, banyak berita tentang Allahyarhamah beredar di pelbagai platform atas talian, terutamanya media sosial. Kebanyakannya menceritakan pencapaian dan kebaikan Allahyarhamah semasa hidupnya, sebagai tanda penghormatan atas pemergian selebriti berbakat ini.
Cakna akan hal itu, suami Allahyarhamah Siti Sarah, pelawak terkenal Shuib Sepahtu, melalui hantaran di laman Instagramnya memohon agar semua pihak berhenti mengeluarkan gambar atau video arwah yang tidak menutup aurat dengan sempurna.
Mohon tak keluarkan atau tarik balik gambar dan video isteri
Assalamualaikum semua.
Saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua yang mendoakan Allahyarhamah Siti Sarah binti Raissuddin, bidadari syurga saya.
Tapi saya ada permintaan dimana saya mohon pada semua untuk tidak mengeluarkan lagi gambar atau video arwah yang tidak menutup auratnya dengan sempurna.
Saya juga mohon pada yang terupload di media sosial untuk keluarkan kembali video atau gambar tersebut, dan saya juga mohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarhamah secara berlebih-lebihan.
Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita.
InsyaAllah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah SWT.
Di ruangan caption pada hantaran tersebut, Shuib turut berpesan jika rindu kepada Allahyarhamah isterinya, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk arwah.
Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman di sisiNya.
Sumber: Shuib Sepahtu
No comments: