PASIR MAS: Dua termasuk seorang ibu yang sarat mengandung sembilan bulan, maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung di Kampung Lumpur, di sini, jam 7 malam tadi.
Bagaimanapun, bayi lelaki di dalam kandungan dilaporkan selamat dan sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM).
Mangsa, wanita berusia 24 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang remaja lelaki berumur 18 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan HPM kira-kira jam 10 malam.
Saksi yang mahu dikenali sebagai Wan, berkata kejadian berlaku terlalu pantas namun dia sempat melihat kedua-dua motosikal bertembung dan lebih menyayat hati apabila bayi dalam kandungan 'terkeluar'.
"Wanita berkenaan menunggang motosikal sambil membonceng seorang lagi kanak-kanak dipercayai anaknya, manakala remaja lelaki yang menunggang motosikal lain terpelanting ke bahu jalan.
"Mereka cuba dibantu oleh orang ramai yang melalui jalan berkenaan sebelum menelefon ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di pekarangan HPM, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan nahas dan berkata, siasatan terperinci masih dijalankan.
No comments: