Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja kapal warganegara Myanmar yang meliputi radius 20 kilometer hari ini masih negatif tanpa sebarang penemuan.
Pegawai Pertahanan Awam Sri Aman Kapten Siti Huzaimah Ibrahim memberitahu, operasi SAR akan disambung esok.
“Pencarian bermula di Jeti Lingga menghala ke hulu Sungai Lingga, iaitu lokasi Thein Wai Maung, 35, disyaki jatuh pada Isnin lalu.
“Kemudian diteruskan dari Kapal Ketara Sepuluh menghala ke hilir (Pendam Batu) dan seterusnya ke Banting.
“Biarpun radius pencarian meliputi keluasan 20 kilometer, namun masih negatif,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Hasil maklumat rakan sekerja mangsa jelas Huzaimah, mangsa terjatuh ketika sedang mengepam minyak.
“Wai Maung kira-kira 10.50 pagi Isnin sedang mengepam minyak gris pada mesin hidrolik, namun hos yang digunakan terlekat lalu menariknya sehingga menyebabkan tergelincir jatuh ke dalam sungai,” ujarnya.
Mangsa seorang pekerja Kapal Ketara Sepuluh yang menggunakan kasut keselamatan, berbaju lengan panjang warna hijau dan menggunakan seluar panjang disyaki dihanyutkan arus deras.
Seorang lelaki warganegara Myanmar yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari atas kapal di Sungai Seterap, Lingga pada Isnin lalu ditemui mati hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mayat Thein Wai Maung ditemui kira-kira 5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan jatuh.
Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh penduduk kampung bersama pasukan penyelamat pada jam 7.30 pagi.
"Keadaan jasad mangsa ketika ditemui didapati dalam keadaan tidak sempurna, di mana kedua-dua tangan dan kepala mangsa hilang disyaki dibaham buaya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada jam 9.10 pagi.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
No comments: