IPOH – Perselisihan faham menjadi punca insiden rusuhan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dekat sini antara sekumpulan individu dan pengawal keselamatan....
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan video tular kejadian yang berlaku pada 12.20 tengah malam semalam.
Katanya, kekecohan itu membabitkan sekumpulan lelaki tempatan yang datang ke hospital untuk menghantar rakan mereka yang cedera.
“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham antara individu terbabit dengan pengawal keselamatan hospital dan polis yang tiba di lokasi berjaya mengawal keadaan.
“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mior Farid, selain kejadian di HRPB, pihaknya turut menerima laporan membabitkan kes mencederakan seorang lelaki tempatan menggunakan senjata tajam.
“Dalam kejadian tersebut, tiga individu cedera dan sedang menerima rawatan di HRPB. Punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara dua keluarga membabitkan isu percintaan.
“Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua kes itu merupakan kejadian berasingan tetapi saling berkaitan.
Terdahulu, beberapa rakaman video telah tular di media sosial menunjukkan kekecohan dengan sekumpulan lelaki dilihat menjerit-jerit di perkarangan Jabatan Kecemasan HRPB.
Video:
No comments: