GEORGETOWN: Seorang lelaki bertindak terjun dari tingkat 12 pangsapuri kediaman mereka di Paya Terubong di sini hari ini, selepas dipercayai menikam isterinya hingga mati dengan sebilah pisau.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu yang bekerja di kilang di Bayan Lepas berselisih faham sehingga menyebabkan lelaki berusia 54 tahun itu menikam isterinya yang berusia 46 tahun dengan pisau dua kali di leher dan paha.
Selepas menikam isterinya sehingga mati, lelaki berkenaan kemudian bertindak terjun dari tingkat 12 kediaman mereka dan mayatnya ditemukan awal pagi hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, polis menerima panggilan mengenai kejadian seorang lelaki ditemukan di tingkat bawah dan dipercayai terjun dari pangsapuri itu kira-kira pukul 7.38 pagi hari ini.
“Ketua Balai Polis Air Itam kemudian ke tempat kejadian dan menemukan mayat lelaki berusia 54 tahun itu sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis kemudiannya menerima laporan daripada seorang wanita warga emas yang mendakwa rumah anak perempuannya berusia 46 tahun berkunci dari dalam.
“Polis kemudian kembali semula ke rumah berkenaan dan membuka pintu menggunakan kunci pendua milik warga emas berkenaan sebelum mendapati seorang wanita terbaring di atas tilam di salah sebuah bilik. Pemeriksaan ke atas wanita itu menemukan kesan tikaman di dua bahagian badan,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dan lelaki yang maut adalah pasangan suami isteri.
“Pasukan forensik mengesahkan wanita berkenaan telah meninggal dunia dan terdapat kesan tikaman di leher dan paha. Bedah siasat akan dijalankan untuk memastikan jika ada kecederaan lain,” katanya.
Beliau berkata, polis percaya motif kejadian adalah melibatkan perselisihan faham sehingga menyebabkan lelaki itu menikam isterinya sehingga mati dan kemudian terjun membunuh diri.
“Tiada unsur jenayah ditemukan dan tiada tanda-tanda pecah masuk atau masuk secara paksa kerana pintu dikunci dari dalam. Polis turut menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam wanita itu hingga mati,” katanya.
Tambah beliau, pasangan berkenaan mempunyai anak berusia 18 tahun namun ketika kejadian tiada di lokasi kejadian kerana berada di rumah neneknya di Air Itam. – UTUSAN ONLINE
No comments: