Setelah pemilik restoren dikecam warganet Ikan siakap dijual RM1,196 penternak sendiri dedah kenapa siakap yang dibelanya mahal

 


LANGKAWI:  Ikan siakap yang dijual pada harga RM1,196 di Taman Geoforest Karst Kilim di sini yang tular semalam, diternak pemiliknya  selama 11 tahun.

Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa berkata, ikan siakap seberat 7.48 kilogram (kg) tersebut diberi makan ikan kecil yang segar dan bukannya dedak seperti kebanyakan sangkar ikan komersial lain.

“Kita tak bagi makan dedak, kita bagi ikan kecil yang dibeli daripada nelayan lain yang baru ditangkap kepada ikan-ikan yang dibela di dalam sangkar di sini.

“Bayangkan 11 tahun saya bela ikan tu, berapa banyak kos untuk ikan tu? Berapa ratus kilogram yang ikan itu sudah makan, tak mungkin saya nak jual dengan harga seperti ikan yang seberat dua kilogram?” katanya apabila ditemui di restoran tersebut, di Taman Geoforest Karst Kilim di sini hari ini.

Tambahnya, kos operasi restoran terapung adalah tinggi dan boleh mencecah sehingga RM7,000 sehari.

Katanya, selain daripada kos memberi makan kepada ikan di sangkar tersebut, kos operasi lain seperti minyak bot yang digunakan untuk membawa bahan masakan dan kos penyelenggaraan restoran juga adalah lebih tinggi kerana kedudukannya yang terapung mengikut pasang surut air laut.

Menurutnya, pengawal keselamatan juga perlu diupah bagi memastikan ikan yang dibela tidak dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana kawasan sangkar tersebut adalah sangat gelap apabila malam tiba.

Jelas Norasyikin, ini bukan kali pertama dia menjual ikan yang bersaiz besar daripada biasa kepada pengunjung yang datang ke restoran tersebut.

“Kalau ada permintaan oleh pelanggan, saya tetap menjual ikan tersebut, tetapi saya tetap akan maklumkan ikan tersebut adalah sangat besar berbanding ikan lain yang mempunyai berat sekitar 800 gram (g) ke dua kilogram.

“Sebelum ini, pelanggan yang menempah ikan tersebut bersetuju apabila dimaklumkan mengenai saiz ikan dan tidak pernah timbul masalah seperti ini,” ujarnya.

Semalam, tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram. – UTUSAN ONLINE 

Setelah pemilik restoren dikecam warganet Ikan siakap dijual RM1,196 penternak sendiri dedah kenapa siakap yang dibelanya mahal Setelah pemilik restoren dikecam warganet Ikan siakap dijual RM1,196 penternak sendiri dedah kenapa siakap yang dibelanya mahal Reviewed by OH! GILA MEDIA on 5:40 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.