GUA MUSANG: Cemburu selain gagal mengawal kemarahan kerana cinta terhadap seorang ibu tunggal warga Thailand yang 20 tahun lebih tua daripadanya sekadar bertepuk sebelah tangan.
Itu alasan yang mendorong seorang pemuda membunuh wanita tersebut sebelum mayatnya dicampak dalam keadaan separuh bogel dalam longkang di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Berang, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menahan suspek berusia 24 tahun, sehari selepas mayat mangsa ditemukan.
Katanya, dalam soal siasat, suspek mengakui menyimpan perasaan cinta terhadap mangsa, walaupun wanita itu berusia 20 tahun lebih tua daripadanya.
“Kira-pukul 12 tengah hari Selasa lalu, mangsa dipercayai telah dicekik dan dahinya dipukul dengan menggunakan tukul besi oleh suspek di kedai makan keluarganya.
“Selepas mendapati mangsa tidak bernyawa, suspek mengheret mangsa ke dalam bonet kereta sebelum membuang mayatnya dalam longkang, kira-kira enam kilometer dari sebuah ladang kelapa sawit,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat lokasi kejadian di Jalan Gua Musang-Kuala Berang, di sini hari ini.
Tambah Choon Foo, polis juga menemukan selipar dan beg tangan mangsa di dua lokasi yang telah dibuang suspek bagi menghapuskan bukti.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang, Selasa lalu, orang awam digemparkan dengan penemuan mayat wanita warga Thailand separuh bogel dalam longkang dipercayai dibunuh.
POLIS meninjau lokasi mayat mangsa bunuh yang dibuang dalam longkang di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Berang, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Selang sehari penemuan mayat mangsa, Siti Padimoh Adae, 44, polis menahan tujuh sekeluarga berumur 21 hingga 64 tahun yang merupakan majikan wanita terbabit di Felda Chiku bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Choon Foo berkata, siasatan kes tersebut hampir selesai dengan penemuan bukti dan suspek utama yang dikenal pasti manakala tujuh sekeluarga tersebut masih lagi direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE
No comments: