ANAK durjana! Begitulah ungkapan yang boleh menggambarkan situasi apabila seorang anak sanggup membunuh ibu bapa kandung.
Seorang lelaki berusia 31 tahun tergamak membunuh ibu dan bapanya dengan menetak mangsa bertubi-tubi serta mengelar leher mangsa menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang di Benta, Raub, Pahang malam semalam.
Kejadian tersebut meragut nyawa bapanya berusia 68 tahun dan ibunya berusia 64 tahun.
Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri ini kejadian sebenar yang terjadi;
1. Mangsa tinggal bersama suspek yang berusia 31 tahun yang merupakan anak bongsu dan tidak bekerja.
2. Siasatan awal mendapati semasa kejadian pasangan itu sedang berbual dengan suspek di dalam rumah sebelum ibu suspek masuk ke dalam bilik.
3. Suspek terus berborak dengan bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan sebelum suspek mendakwa nampak mata ayahnya hitam seakan hendak menyerangnya menyebabkan suspek mengambil parang dari dalam bilik dan menetak ayahnya.
4. Ibu suspek kemudian cuba membantu suaminya tetapi lelaki itu menyerang ibunya dengan menetak dan menikam di leher dan kepala menyebabkan ibunya melarikan diri keluar dari rumah sebelum rebah berhampiran pagar rumah.
5. Susulan itu suspek keluar dari rumah mencari ibunya sebelum ditemui dan ditahan oleh orang kampung dalam keadaan berbogel dan berlumuran darah.
6. Penduduk kampung yang bergegas ke rumah suspek mendapati bapa mangsa dalam keadaan terbaring tidak bernyawa di atas lantai rumah manakala ibu mangsa terbaring tidak bernyawa di atas rumput di luar rumah.
7. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.
8. Suspek yang ditahan oleh orang awam diserahkan kepada pihak polis.
9. Polis merampas sebilah golok dipercayai digunakan suspek bagi membantu siasatan.
Sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang di sebuah rumah di Kampung Kemahang Hulu, Benta dekat Kuantan malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira 10.30 malam ketika suspek berusia 31 tahun itu dikatakan sedang berbual bersama bapa dan ibunya yang berusia 68 dan 64 tahun.
Beliau berkata ibu suspek yang merupakan seorang pesara kemudian masuk ke dalam bilik meninggalkan suspek bersama bapanya yang berbual mengenai ilmu agama dan ketuhanan.
Katanya suspek dipercayai secara tiba-tiba bertindak mengambil parang di dalam bilik lalu menetak dan menikam bapanya yang merupakan seorang pengawal keselamatan, di bahagian kepala dan bahu.
"Ibu suspek yang melihat kejadian tersebut, pergi menghampiri suaminya untuk membantu namun suspek telah menyerang mangsa (ibu) dengan menetak dan menikamnya di bahagian leher serta kepala.
"Mangsa kemudian terus melarikan diri keluar dari rumah sebelum ditemukan rebah di atas tanah berhampiran pagar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata suspek yang tidak bekerja telah bertindak keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah dan ditahan oleh penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis.
Beliau berkata jenazah suami isteri itu dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat manakala suspek yang didapati positif dadah akan direman tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Motif kejadian masih dalam siasatan, katanya.
No comments: