Sajat lolos melalui keretapi: KTMB tidak bertanggungjawab kandungan kontena


Kuala Lumpur, 20 September: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengeluarkan satu kenyataan berhubung laporan sebuah akhbar yang bertajuk “Sajat sudah ditahan-usahawan kosmetik dicekup pihak berkuasa Thailand di Bangkok”.

Menurut KTMB, kontena-kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang telah disewa oleh pelanggan-pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut sama ada kosong atau bermuatan.

Tambah kenyataan itu lagi, fasiliti dan terminal kargo KTMB di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan dan Kastam.

Manakala setiap tren yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara di sempadan dan melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan.

“Walaubagaimanapun, KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara yang dilaporkan” katanya.

Menurut laporan Harian Metro, Nur Sajat pada mulanya didakwa dibawa menaiki sebuah kenderaan dari Lembah Klang ke Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sebelum dibawa ke Padang Besar, Perlis.

“Sebaik tiba di Padang Besar, Nur Sajat dimasukkan ke gerabak kereta api barang sebelum lolos ke Padang Besar, Thailand bersama lelaki terbabit.

“Lelaki sama kemudiannya membawa Nur Sajat ke Hat Yai, Thailand. Dia (Nur Sajat) kemudiannya diserahkan kepada seorang lelaki yang membawanya hinggalah ke Bangkok, Thailand,” kata sumber Harian Metro.

Ditanya bagaimana Nur Sajat dan lelaki terbabit boleh melepasi sekatan jalan raya hingga ke utara tanah air, sumber itu memaklumkan, usahawan kosmetik itu lolos ke Thailand pada Mac lalu.

“Kita percaya Nur Sajat dan lelaki terbabit lolos ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Ketika ini kelonggaran diberikan untuk melakukan rentas daerah dan negeri. “Pihak berkuasa yakin dia lolos sebelum 18 Mac ketika PKPP kerana selepas itu (18 Mac) PKP kembali dikuatkuasakan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber itu memaklumkan, siasatan mengenai Nur Sajat berjaya lolos walaupun gambarnya sudah diedarkan ke pasukan keselamatan yang menjaga sempadan negara sudah diperhalusi pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu ulas bagaimana dia boleh lolos di Padang Besar, Perlis ke Thailand walaupun ketika itu kita sudah edar gambar dia.

“Tetapi yang pasti, taktik dia adalah memakai purdah dan niqab hinggalah dia berjaya lolos ke sana dengan bantuan lelaki terbabit,” katanya.

Ditanya adakah lelaki itu sudah dikenal pasti, sumber itu bagaimanapun enggan mengulasnya.

“Kita percaya individu ini mempunyai dua kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand serta mahir selok-belok di kawasan sempadan negara terutamanya di Perlis,” katanya.


Sajat lolos melalui keretapi: KTMB tidak bertanggungjawab kandungan kontena Sajat lolos melalui keretapi: KTMB tidak bertanggungjawab kandungan kontena Reviewed by OH! GILA MEDIA on 5:50 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.