Kes cuba curi tabung masjid: Penduduk kampung sendiri dedah perangai sebenar budak curi tabung masjid
Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu antara pandangan dikongsikan orang ramai di media sosial susulan nasib menimpa seorang remaja di Rawang, Selangor yang dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid.
Remaja berusia 19 tahun yang ibu bapanya sudah bercerai sejak dia berusia lapan tahun itu, hari ini dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang.
Anak sulung daripada tiga adik-beradik dan tinggal bersama datuknya berusia 70-an itu juga dikatakan peguam yang mewakilinya, memperoleh sumbangan makanan dan minuman daripada sedekah jiran.
Sehubungan itu, rata-rata warganet meluahkan rasa simpati mereka walaupun menyedari apa dilakukan remaja tersebut salah di sisi undang-undang.
Hanya orang ramai berpendapat tindakan pihak yang mengambil video ketika remaja itu dimandikan seperti ‘jenazah’ hingga tersebar di laman sosial sebagai keterlaluan dan dibimbangi lebih mengundang banyak mudarat khususnya kepada psikologi keluarga remaja terbabit.
Reaksi simpati orang ramai juga merentas kaum dan agama. Pandangan mereka dapat dilihat dalam ruangan komentar di Facebook rasmi Bernama TV.
“Setelah diaibkan (tular video) oleh AJK Masjid, sekarang dipenjara 10 hari. Satu kesalahan, dua hukuman,” kata Azmi Hashim.
Pengguna Facebook, Sarizah Shariff pula mempersoal bagaimana dengan pelaksanaan hukuman terhadap pesalah yang sudah pun mencuri harta dan hak rakyat berpuluh juta bahkan berbilion ringgit ketika remaja yang mencuri tabung masjid pun dikenakan hukuman sebegitu.
“Seorang anak sulung yang tinggal dengan datuk dan nenek setelah penceraian ibu bapa. Bagaimanalah agaknya kehidupan yang dia lalui sehingga cuba mencuri tabung masjid itu?
“Dan sekarang seluruh kehidupannya pula dicuri. Sungguh, aku gentar untuk menjadi hakim yang bakal dihakimi di hadapan Allah kelak,” luah Sarizah lagi.
Pampasan
Nada hampir sama dilontarkan Mandeep Singh malah beliau bersedia untuk membayar pampasan kepada pihak Masjid Al Islahiah atas insiden yang berlaku.
Beliau juga menyatakan rasa bimbang kesan jangka panjang terhadap emosi remaja terbabit selepas diaibkan melalui penyebaran video tersebut kemudiannya dihukum pula pihak mahkamah.
“Ada sesiapa tahu nombor yang boleh dihubungi untuk saya hubungi masjid terbabit? Saya ingin membayar pampasan kerosakan akibat kecurian berlaku.
“Jika ya pun budak ini melakukan kecurian, pihak masjid seharusnya menanganinya dengan cara yang berhemah.
“Pada pendapat saya, budak ini sudah dihukum oleh pihak masjid dengan memviralkan video. You should be a leader of the community and not be showing an bad example.
“Racun yang ditanam dalam budak ini hanya akan memudaratkan beliau dan menjadi lebih ‘beracun’ pada masa yang akan datang,” tambah Mandeep lagi.
Bagi seorang penganut Kristian, Martin Usat pula berpendapat adalah lebih baik sekiranya pihak masjid membantu keluarga remaja yang susah itu daripada menjatuhkan hukuman sebegitu.
“Sepatutnya imam masjid itu tak buat begitu. Dia harus selidik latar belakang remaja itu dulu. Jika mereka dalam kemiskinan gara-gara kesempitan hidup, pihak masjid harus menolong mereka.
“Saya sebagai orang Kristian selalu menolong orang yang bukan Kristian jika mereka dilanda kemiskinan. Tuhan akan memberkati kehidupan kita jika kita menolong orang di dalam kesusahan,” ujarnya.
Mahkamah Majistret Selayang hari ini menjatuhkan hukuman remaja itu selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah di Kuang, Rawang dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid tersebut pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 9 Januari lalu dan dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Meraih simpati orang ramai serentak dengan rasa gembira sebahagian pihak lain terhadap hukuman yang diterima remaja itu, tidak kurang juga warganet yang mendoakan kesejahteraan buat tertuduh.
“Jika dia mencuri sebab terdesak, makcik doakan semoga kamu menjadi anak yang berjaya suatu hari nanti, dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.
“Jadikan ini sebagai ujian hidup dari Allah, yang mengaibkan semoga Allah berikan hidayah. Ingatlah, jika kita jaga aib orang, Allah akan jaga aib kita. Inshaa-Allah,” nasihat Puteri Noreen Salehuddin.
Harapan sama disuarakan Abam Kay yang menulis, “Masih muda lagi. Moga kelak memberi pengajaran dan kesedaran untuk menempuh hari mendatang. InsyaAllah, moga Allah merahmati.”
Komen dari penduduk kampung sendiri :
Jangan mudah kesian walaupun kita tahu itu salah... cerita sebenar kita tak tahu. Walaupun min dengar kisah dia nak beli ubat dekat datuk dia pon min teragak tak kesian. Kita kena tanya orang kampung dia macam mana perangai dia sebenar. Datuk dia pun pernah mengacu parang ni kan pulak nak beli ubat. Kita doakan yang baik2..
No comments: