GUA MUSANG - Seorang remaja yang hilang di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini sejak Isnin selamat ditemukan pada jarak satu kilometer dari rumahnya pada Rabu.
Muhammad Iznun Al-Azim Mahadi, 13, ditemukan pada jam 5.30 petang dalam keadaan dia sedang berjalan kaki sambil menjinjing selipar.
Ibu remaja berkenaan, Khairul Nisa Hamzah, 45, berkata, anak bongsunya itu ditemui oleh seorang wanita dikenali sebagai Kak Yah berusia 50-an yang kebetulan ke lokasi kejadian untuk meninjau keadaan tersebut selepas ia tular di laman sosial.
"Kata Kak Yah, semasa dalam perjalanan ke sini dia bersama rombongan lain melalui jalan tersebut dan melihat seorang remaja lelaki sedang berjalan dalam keadaan lemah serta kotor sambil memegang selipar.
"Kak Yah memberhentikan keretanya dan membawa Muhammad Iznun Al-Azim untuk diserahkan kepada saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, mengikut cerita orang lain yang turut bersama Kak Yah pada waktu itu, mereka tidak nampak kelibat Muhammad Iznun Al-Azim seperti yang dilihat oleh Kak Yah.
Katanya, malah mereka juga mendakwa tidak dapat melihat Muhammad Iznun Al-Azim ketika Kak Yah berhenti mengambilnya.
Dia berkata, orang ramai hanya dapat melihat anaknya itu apabila selamat tiba di rumahnya.
No comments: